Wednesday, April 2, 2008

KETIKA DAN KALIMAT


“KETIKA DAN KALIMAT”

BBM 3410 BAHASA DALAM MULTIMEDIA


SEKETIKA ITU…SEPI MENCUIT HATI…HANYA SUARA HUJAN SEAKAN MENYANYI…MENDENDANGKAN LAGU SYAHDU…KETIKAKU TERPEGUN…MERENUNG JAUH GAMBARMU SAYANGKU…memang pun hujan tengah turun semasa aku mencoret jurnal ini…Lebat betul !

24 DISEMBER 2007 (ISNIN)

Semester 2 sesi 2007/2008 telah bermula…subjek-subjek yang perlu aku ambil untuk semester ini telah pun aku key-in sebelum cuti semester dulu. Semester ini aku telah mendaftar 5 subjek, iaitu Psikolinguistik, Novel Melayu, Puisi Melayu, Analisis dan Penyuntingan Teks dan Projek Ilmiah Bahasa Melayu.

Hari pertama kuliah iaitu pada 24 Disember 2008 kurasakan begitu hambar kerana setiap kelas yang aku masuk kesemuanya tidak cukup 100% kedatangan. Semasa aku masuk kelas Analisis dan Penyuntingan Teks lagi, cuma kami 4 orang sahaja yang hadir. Pelajar yang lain masih berada di kampung halaman lagi. Aku fikir mungkin masalah banjir yang melanda atau sekadar mereka ingin menyambung cuti yang dirasakan masih tidak mencukupi. Selepas kelas Analisis dan Penyuntingan Teks, aku bercadang untuk melengkapkan pendaftaran subjek kerana aku belum lagi mendaftar subjek BBM 3410 Bahasa Dalam Multimedia. Subjek ini ini adalah subjek bertaraf wajib yang perlu diambil oleh setiap pelajar yang mengambil kursus Bahasa dan Linguistik Melayu. Mahu atau tidak, minat atau tidak, setiap pelajar Bahasa dan Linguistik Melayu mesti mengambilnya.

Lantas aku pun key-in subjek tersebut…Aku betul-betul berharap agar kuota pelajar untuk subjek ini ditambah. Sebelum cuti semester dahulu aku lambat untuk mendaftar subjek ini…dan bila aku mendaftar kouta telah penuh. Pada masa itu aku berasa amat kecewa dan amat takut kerana aku tak mahu extend semata-mata tidak dapat mengambil subjek wajib ini. Aku bersama-sama rakanku yang tidak dapat key-in subjek ini telah mengadu pada pihak fakulti, dan mereka berjanji akan menambah kouta apabila semester ke-2 dibuka nanti. Aku pun membuka ESMP, masukkan no. matrik…dan password…dan tekan ENTER! Aku pun masukkan kod subjek..BBM 3410, kumpulan 1…dan tekan ENTER…Alhamdulillah kouta telah dibuka dan aku berjaya mendaftar subjek ini. Aku lihat nama pensyarah yang akan mengajar subjek ini…DR. NORMAHDIAH BINTI SYIKH SAID …Sekali lagi aku mengucapkan syukur kerana pensyarah yang mengajar subjek Bahasa Dalam Multimedia ini merupakan PA aku yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan kaya dengan sifat keibuan serta boleh bertolak ansur.

Sebelum aku mengambil subjek Bahasa Dalam Multimedia ini, aku pernah bertanya pada senior-senior yang telah mengambil subjek ini. Kebanyakan mereka berkata bahawa subjek ini seronok kerana kita dapat mengenali dengan dunia teknolgi maklumat dan komunikasi dengan lebih mendalam lagi. Aku juga bertanya tentang tugasan-tugasan yang biasa diberi oleh pensyarah. Aku memang suka bertanya perkara ini kerana tugasan adalah salah satu perkara yang amat meletihkan bagi aku. Aku faham bahawa tugasan ini perlu sebagai latihan praktikal semasa kita belajar, tetapi sebagai manusia aku tidak dapat lari daripada sikap ingin bersenang-senang.

Satu lagi perkara, senior aku ada berkata bahawa subjek Bahasa Dalam Multimedia ini biasa diajar oleh 2 orang pensyarah. Mereka ialah Dr. Normahdiah dan Dr. Normaliza. Senior itu berkata, jika diberi pilihan antara Dr. Normahdiah dengan Dr. Normaliza, sesungguhnya hendaklah kita memilih Dr. Normahdiah…jangan pilih Dr. Normaliza kerana dia begitu cerewet, kelam-kabut, banyak kerja yang kena buat, anginnya tak dapat diagak…katanya, tengah-tengah happy, tiba-tiba sahaja anginnya berubah…boleh kecut perut dibuatnya.

Justeru, aku pun berasa amat bertuah sekali kerana Dr. Normahdiah yang akan mengajar subjek Bahasa Dalam Multimedia ini. Rakan-rakanku yang lain juga turut berasa gembira kerana mereka juga mendapat pensyarah yang sama denganku untuk subjek ini.

02 JANUARI 2008 (RABU)

Pada 03 Januari 2008, aku mula masuk ke kuliah Bahasa Dalam Multimedia untuk kali pertama. Untuk kali pertama juga aku bertemu dengan rakan-rakanku yang baru balik ke UPM setelah bercuti lama. Kami berasa sungguh riang sekali kerana dapat bertemu setelah lama berpisah. Dr. Normahdiah masuk dan mula mengedarkan sinopsis kuliah. Namun sebelum beliau mula menerangkan sinopsis tersebut, beliau telah memberi satu pengumuman…penting katanya! Kelas pun terdiam seketika. Beliau kata bahawa kelas Bahasa Dalam Multimedia ini terlalu ramai pelajarnya, dan beliau perlu memecahkan kumpulan ini kepada dua kumpulan. Beliau beritahu lagi bahawa kumpulan yang kedua nanti akan diajar oleh Dr. Normaliza. Bila terdengar nama Dr. Normaliza sahaja hatiku terasa berdebar-debar…Entah kenapa, aku pun tak tahu…


Dr. Normahdiah bertanya sekira ada sesesiapa yang secara suka rela sanggup untuk masuk kumpulan yang kedua. Tetapi malangnya, tiada sesiapa pun yang sanggup meninggalkan kumpulan ini. Mungkin kerana sikap setia dan prinsip teguh pada pendirian begitu menebal di hati kami sehingga tiada sesiapa yang bertindak secara suka rela meninggalkan kumpulan ini. Akhirnya, Dr. Normahdiah membuat keputusan bahawa nama pelajar yang ke-80 sehingga yang seterusnya terpaksa meninggalkan kumpulan ini. Hatiku terus berdebar-debar…kali ini bertambah kencang lagi.


Kata Dr. Normahdiah “Pelajar yang bernombor matrik 133099 sehinggalah yang seterusnya terpaksa meninggalkan kumpulan ini, dan masuk kumpulan kedua…”. Aku begitu terkejut. Nombor itu adalah nombor matrik aku. Oh tidak… aku terpaksa masuk kumpulan kedua. Rakan-rakanku yang lain juga turut berasa kecewa kerana terpaksa meninggalkan kumpulan satu…Jelas tergambar rasa kekecewaan tersebut pada raut wajah masing-masing. Kami pun dengan berat hati meninggalkan kelas tersebut dan masuk ke kelas untuk kumpulan yang kedua.


Bila kami masuk ke dalam kelas tersebut, Dr, Normaliza telah sedia menanti kami. Kata-kata pertama yang aku dengar “Kenapa duduk belakang-belakang..kat depan kan banyak kosong lagi!” Aku pun terus duduk di barisan tengah-tengah. Rakan-rakan yang lain tidak mengendahkan teguran Dr. Normaliza itu dengan duduk di barisan belakang. Aku tidak turut serta dengan mereka kerana aku telah sedia maklum dengan sikap Dr. Normaliza daripada rakan seniorku. Mungkin rakan-rakanku yang lain tidak tahu sikap sebenar Dr. Normaliza. “Ah, lantaklah kau orang…” kata hatiku. Memang benar seperti yang aku rasakan. Dr. Normaliza terus naik angin dan mengancam rakan-rakanku yang duduk di bahagian belakang. Kulihat masing-masing ketakutan. “Ha ha ha…padan muka kau orang. Aku dah beritahu tadi, tapi tak percaya…” kata hatiku lagi. Sebenarnya aku sudah pun beritahu tentang sikap dan sifat Dr. Normaliza sedikit sebanyak kepada rakan-rakanku, tapi mereka tidak percaya. Sekarang terimalah akibatnya. Kelas terdiam sejenak seperti suasana di pusara. Dr. Normaliza mula memberi taklimat dan maklumat tentang Bahasa dalam Multimedia. Beliau juga telah mengajar kami tentang 5 asas grafik, iaitu warna, mudah, keseimbangan, kesesuaian dan teks. Tiba-tiba terdengar bunyi pen berdetip!...Dr. Normaliza terus memberi amaran. Katanya lebih kurang yang aku ingat “Saya cukup pantang kalau bunyi pen keletap-keletip…”. Persepsi awal aku terhadap Dr. Normaliza ialah seorang yang garang, tegas dan serius…tapi jauh di sudut hatiku mengatakan bahawa beliau seorang yang baik hati dan masih boleh bergurau. Kuliah pertama ini juga kami telah diperkenalkan dengan Cik Alia yang akan bertindak sebagai fasilitator untuk tutorial Bahasa dalam Multimedia. Aku mengambil kelas tutorial pada setiap hari Rabu jam 5.00 – 7.00 petang.


Sebelum kelas berakhir, Dr. Normaliza mengarahkan kami semua agar membawa kertas tebal, majalah, gunting, gam, straw, benang tiga warna, rumput kering dan pencungkil gigi untuk tugasan dalam kelas minggu hadapan. Kami mencatat segala yang diarahkan dengan teliti. Kami juga telah diarahkan agar membentuk satu kumpulan dengan bilangan ahli seramai lima orang setiap kumpulan. Kumpulan aku bernama Kumpulan 12 dengan ahli kumpulan iaitu aku (Halim). Wadi, Safuan, Sobri dan Hafiz. Kami berlima sepakat melantik Wadi sebagai ketua Kumpulan 12.


Pada malamnya, kelas tutorial bermula. Kami telah diarahkan oleh Cik Alia agar membina slaid berkaitan dengan alam sekitar. Setiap kami dipinta untuk memikirkan tajuk slaid yang berkaitan. Aku telah memilih tajuk “Rahsia Lautan Biru” dan tajuk ini telah dipersetujui oleh Cik Alia…Slaid yang telah dibina nanti perlu ada 20 slaid yang mengandungi gambar-gambar, kata-kata yang ringkas, lagu dan perlu dipersembahkan selama 2 minit sahaja. Kami diberi masa selama 3 minggu untuk menyiapkannya.

09 JANUARI 2008 (RABU)

Kuliah pada hari ini aku datang dengan membawa pencungkil gigi dan straw. Alat-alat itu aku beli di kedai berhampiran pada 2 hari yang lalu. Barang-barang yang lain telah dibawa oleh rakanku yang lain. Hatiku berdebar-debar kerana memikirkan tentang apakah yang bakal berlaku pada hari ini. Apakah yang akan kami lakukan dengan alat-alat ini. Pelik rasanya. Pada hari ini aku datang awal sedikit kerana takut dibebeli oleh Dr. Normaliza. Jam menunjukkan pukul 11.55 pagi. Alamak…kerusi bahagian hadapan sudah penuh. Rupa-rupanya rakan-rakanku yang lain telah mula mengenali sikap Dr. Normaliza. Namun, aku dapat duduk di kerusi di bahagian tengah-tengah…

Dr. Normaliza masuk dan dia mula melihat kerusi di bahagian belakang. Dia dapati ada beberapa orang pelajar yang duduk di bahagian belakang. Apa lagi, dia pun mula berceramah….Katanya dia mahu melihat kerusi di barisan yang ketujuh dan seterusnya dikosongkan. Oleh itu pelajar yang duduk di bahagian belakang dianggap lewat masuk dan tidak berminat dengan kuliahnya.

Kami ditugaskan membuat 2 tugasan. Tugasan pertama aktiviti potong dan tampal. Gambar-gambar perlu di potong dari majalah dan ditampalkan pada kertas tebal. Tampalan pula perlu menepati asas grafik yang 5 iaitu keseimbangan, kesesuaian, teks, warna dan mudah. Tugasan kedua pula, kami dikehendaki membina satu kolaj di atas kertas tebal dengan menggunakan barang-barang yang kami bawa tadi. Masa yang diperuntukkan untuk membuat tugasan tersebut ialah selama 1 jam sahaja. “Aduh… mana cukup..” kataku dalam hati. Tanpa berlengah lagi, kami pun mula melakukan aktiviti tersebut. Aku mula membelek-belek majalah untuk dipotong. Asas grafik tetap kami gunakan dalam pemilihan gambar yang sesuai. Setelah aku memilih gambar-gambar yang sesuai, aku pun mula melekatkan gambar-gambar tersebut. Rakan-rakanku yang lain aku lihat begitu tekun memotong dan menampal. Kami tidak sempat bercerita walau sebarang cerita kerana terlalu asyik dengan kerja-kerja memotong dan menampal.

Sedang kami asyik memotong dan menampal, tiba-tiba kami hampir terlupa dengan tugasan yang kedua. Kami perlu menyiapkan kolaj. Alamak! Masa cuma tinggal 20 minit lagi…aktiviti potong dan tampal telah siap 80%, tapi kolaj tak sentuh lagi. Aku bertanya rakan-rakan yang lain…masing-masing panik dan tak tahu nak buat apa. Lantas aku pun mengajak Safuan untuk menyiapkan kolaj. Tugasan potong dan tampal kami serahkan kepada Wadi, Hafiz dan Sobri. Aku tanya Safuan, Safuan pula tanya aku balik..tak tahu nak buat corak apa untuk kolaj. Tiba-tiba kami ternampak salah seorang pelajar yang membawa beg gambar Shin-Chan. Kami mendapat idea, dan wajah Shin-Chan kami abadikan pada kolaj tersebut. Kami menyiapkan kolaj tersebut dalam masa 10 minit sahaja. Apabila semua tugasan kami siap, kami pun menghantarnya ke bilik Dr. Normaliza. Alhamdulillah…tugasan kami diterima walaupun kena komen teruk juga!...Ah..lega rasanya bila berakhir kelas…

Minggu depan kami diarahkan pula agar membawa kamera digital…kata Dr. Normaliza, kalau tak ada kamera, curi lah kat mana-mana…Ha ha ha…


23 JANUARI 2008 (RABU)

Pada hari ini aku datang seawal mungkin, dan aku dapat di barisan yang kedua. Dr. Normaliza masuk. Memang tepat jangkaan aku, perkara pertama yang disentuh pastinya tentang kedudukan pelajar dalam kelas. Kali ini dia mengarahkan agar barisan pertama hingga barisan keenam dicatat namanya. Pelajar yang duduk di bahagian ketujuh dan seterusnya dianggap dalam perhatiannya. Sekiranya pelajar tersebut masih lagi berada di bahagian belakang tindakan tegas akan diambil. Kukira amarannya ini bukan main-main kerana aku pernah terdengar daripada senior bahawa beliau pernah mengarahkan pelajarnya memohon maaf atas kelewatannya kepada semua pelajar yang lain dengan cara SMS!...Kira okey lah…kata belajar multimedia…SMS pun salah satu daripada multimedia.


Hari ini kami diarahkan agar berpossing macam model-model terkenal. Beliau mengarahkan agar kami mengambil gambar setiap ahli kumpulan dengan cuba mengaplikasikan asas grafik yang telah dipelajari. Beliau mahukan 20 keping gambar yang betul-betul menarik, dan bukannya gambar kaku bak kayu. Tugasan ini memerlukan kami mengambil gambar wajah, gambar penuh, gambar separuh hingga paras dada (paras pinggang tak mahu), gambar terapung di udara dan gambar beramai-ramai. Gambar-gambar tersebut akan dibentangkan dalam bentuk slaid nanti.

Apa lagi, pada hari itu, kami berlima pun bergambarlah umpama seorang model-model terkenal. Tapi berasa malu-malu juga untuk berpossing kerana aku tak hensem sangat, hensem sikit je. Ah..lantaklah…Jadi, kami pun mula mencari tempat-tempat yang menarik untuk dijadikan sebagai tempat untuk bergambar. Antara lokasi yang menjadi tempat pilihan kami ialah di Pusat Pendidikan Jarak Jauh, tempat parkir kereta, taman-taman yang ada di sekitar fakulti dan lain-lain lagi. Setelah selesai bergambar, kami pun masuk ke dalam kelas semula…penatlah!

Apabila semua pelajar telah selesai mengambil gambar, mereka pun kembali ke kelas. Dr. Normaliza mengarahkan agar kami semua membina 20 slaid yang terkandung 20 keping gambar kami tadi. Setiap gambar perlu menceritakan sesuatu yang menarik dan mempunyai lagu. Setiap kumpulan harus membentang slaid masing-masing selama 2 minit. Pembentangan slaid akan bermula minggu hadapannya…

Aku rasa kelas pada hari ini sungguh seronok…tiada sebarang tekanan dan kami sungguh enjoy!


30 JANUARI 2008 (RABU)


Hari ini Dr. Normaliza memberikan nota kuliah. Kuliah kami menyentuh soal konsep multimedia. Nota diberi terlalu laju…belum sempat aku menyalin nota, slaid telah ditukar ke slaid lain. Kata Dr. itu adalah cara dia memberikan nota. Pelajar sempat menyalin atau tidak itu bukan masalahnya. Katanya lagi, pelajar perlu kreatif dalam menyalin nota… gunakan teknologi sepenuhnya… Kalau tak sempat salin, gunakan kamera… tangkap gambar.


Ramai juga pelajar yang mengambil gambar dengan menggunakan kamera. Setiap kali slaid bertukar, pasti akan disusuli dengan pancaran kilat dari kamera masing-masing. Terasa sungguh meriah la pulak. Tapi, aku tidak ikut serta kerana kamera digitalku tertinggal kat kampung. Aku tetap dengan cara tradisional semasa menyalin nota. Aku cuba meringkaskan nota yang aku salin dengan tulisan trengkas. Pun masih tak sempat!.. Ada beberapa perkataan dan frasa yang tertinggal. Setelah nota selesai diberikan, aku cuba membaca semula nota yang kusalin…Alhamdulillah, masih boleh dibaca, tapi aku yakin orang lain pasti tak akan kabur mata bila membaca nota aku.


Selesai menyalin nota, tugasan berkumpulan menyusul. Kumpulan kami telah diarahkan agar menyenaraikan tentang jenis-jenis halaman web yang terdapat di internet. Kumpulan kami berkumpul dan mula berbincang. Masing-masing dengan penuh semangat menamakan halaman-halaman web beserta dengan alamatnya. Aku rasa, jawapan itu tidak menepati kehendak Dr. Normaliza kerana yang beliau mahu adalah jenis, dan bukannya nama atau alamat halaman web.Tetapi rakan-rakanku yang lain dengan penuh yakin bahawa inilah jawapan yang sebenarnya. Kata mereka “Laman web Kementerian Pelajaran Malaysia..alamatnya, www.emoe.gov.my ...lepas tu…”. “Salah la..” bisik hatiku.


Apabila selesai masa yang diperuntukkan untuk aktiviti berkumpulan, senarai itu pun dihantar…Ah, masalah besar! Memang betul kumpulan kami tersalah memberi jawapan. Aku dah agak dah. Kecewa aku sebab ahli kumpulan aku tak dengar cakap aku. Akibatnya kami kena keluar ke hadapan dan didenda. Ada 4 lagi kumpulan yang senasib dengan kumpulan kami. Hukuman yang diberikan kepada kami ialah menari twist dengan irama lagu “Pabila larut malam”. Kumpulan yang dapat menari dengan baik akan dibenarkan duduk. Aku soal menari ni masalah sikit…bukan tak pandai tapi sudah lama aku tinggalkan…dah bertaubat…Tapi nasib baik Hafiz, Sobri dan Wadi adalah penari yang hebat. Mereka menari dengan “poyo”nya mengikut alunan lagu, dan kumpulan kami dapat masuk dahulu.

Tamat kelas Bahasa Dalam Multimedia untuk hari ini…

13 FEBRUARU 2008 (RABU)

Hari ini pembentangan tentang slaid fotografi bermula. Kami dikehendaki mempersembahkan slaid seperti mana yang telah diarahkan. Slaid-slaid perlu menepati syarat-syarat yang telah dinyatakan dahulu. Sekiranya slaid tidak menepati kehendak dan syarat yang ditetapkan, slaid akan ditolak dan markah sifar akan diberikan….tiada tolak ansur dan tiada sebarang rayuan.

Setiap kumpulam kulihat begitu bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk mempersembahkan slaid meraka. Maklumlah, kami semua telah diberikan masa yang cukup panjang untuk menyiapkan slaid ini. Lagi pun kami telah didedahkan sedikit sebanyak dengan asas grafik dan keberanian mengaplikasikan daya kreativiti dengan penggunakan photoshop. Keyakinan telah mula menapak di hati kami.

Menyorot kembali saat kami menyiapkan tugasan ini…Mula-mula sekali kami berbincang dan memilih gambar-gambar yang benar-benar menarik dan menepati asas grafik. Setelah 20 gambar yang kami kira paling cantik dan paling bermutu telah dipilih, pembahagian tugas mula diagih-agihkan. Aku ditugaskan untuk membina susun atur slaid. Berdasar ‘storyboard’ yang telah dibina, aku pun mula menyusun slaid-slaid …Hampir 5 jam aku menatap skrin komputer. Lupa makan minum… Apabila telah siap, aku serahkan pada Wadi pula untuk melakukan setting masa dan lagu latar. Selesai tugas aku!... Macam-macam lagu yang Wadi cuba masukkan sehingga dia mendapat lagu yang betul-betul sesuai dengan konsep slaid kami itu. Akhirnya, dia memilih lagu “Lelaki Ini” yang dipopularkan oleh Anuar Zain. Katanya, dia memilih lagu ini kerana kami semua adalah terdiri daripada kaum lelaki. Lantaklah…aku terima sahaja.

Kami membentangkan slaid kami selepas 2 pembentangan berlalu. Kami berasa sungguh bangga dan berpuas hati kerana dapat mempersembahkan tugasan kami dengan lancar tanpa sebarang masalah. Kami lihat, audien juga terhibur dengan persembahan kami tadi. Selepas itu, kumpulan kami mula bertukar nama dari Kumpulan 12 kepada kumpulan “LELAKI INI”…baru ada nilai-nilai komersial!


20 FEBRUARI 2008 (RABU)

Hari ini, kami telah diajar membuat lipatan daripada kertas. Kami dikehendaki mengeluarkan sehelai kertas. Kertas tersebut perlu dilipat langkah demi langkah sehingga membentuk satu bentuk tertentu. Aktiviti ini mengingatkan aku pada zaman sekolah TADIKA yang telah aku tinggalkan beberapa tahun yang lalu. Tidak kusangka langsung aku akan mengulanginya semula di Universiti Putra Malaysia. Kalau dahulu aku membuat aktiviti ini dalam usia muda dengan perasaan yang begitu seronok, tapi kali ini aku melakukannya dalam usia dewasa. Perasaanku..emmm..masih seronok, mungkin lebih lagi.

Selesai akitiviti itu, kami telah ditugaskan dengan satu tugasan. Macam ini bunyi tugasannya… “Katakanlah anda berhadapan dengan seorang pelancong dari luar negeri. Pelancong tersebut tidak tahu berbahasa Inggeris mahupun berbahasa Melayu. Kemudian, dia inginkan maklumat dari anda….Anda perlu memberikan maklumat dengan membina satu lipatan kertas…lipatan kertas itu perlu lipatan yang pelik, dan tak pernah dilihat!”. Kumpulanku telah membina tiang gol daripada kertas, dan hasil ciptaan kami diterima. Lega rasanya…


27 FEBRUARI 2008 (RABU)

Aktiviti hari ini ialah membuat ‘storyboard’ tentang majalah. Biasalah, pastinya kelam-kabut kerana kami dikehendaki membuat satu ‘storyboard’ dalam 20 halaman dan pastinya perlu lengkap dengan teks, grafik dan gambar. Macam biasa juga, pembahagian tugas dilakukan dan aku ambil bahagian grafik dan gambar. Ini bermakna segala grafik-grafik dan gambar-gambar majalah tersebut adalah di bawah tanggungjawab aku.


Kami telah bersetuju untuk mencipta reka majalah berkaitan tentang sukan. Majalah kami bertajuk “ARENA”. Aku lihat semua ahli kumpulan “LELAKI INI” begitu tekun dan khusyuk melaksanakan tugas masing-masing


Berkat kesungguhan dan ketekunan kami, kami berjaya juga menyiapkan tugasan ini. Sungguh kami rasa macam tidak percaya kerana dapat menyiapkan tugasan ini mengikut masa yang ditetapkan walaupun dalam keadaan terdesak. Saat ini aku teringat kata-kata Dr. Normaliza. Katanya lebih kurang begini “ini adalah satu latihan sekiranya awak semua bekerja nanti…Kita perlu menyiapkan tugasan yang diberi tepat pada masanya secara bekerjasama…” Aku setuju kerana kata-kata itu ada kebenarannya.


05 MAC 2008 (RABU)



Hari ini kami disuruh untuk mencari kata-kata tersembunyi. Dulu masa sekolah rendah, aktiviti inilah yang paling aku gemari. Setiap majalah kanak-kanak yang aku beli pasti ada ruangan mencari kata-kata tersembunyi ini. Aku melaksanakan aktiviti ini secara berkumpulan. Namun begitu, masih terdapat beberapa perkataan yang kami tidak temui. Mungkin kalau diberi lebih masa, kami pasti akan dapat menyelesaikan masalah ini. Kalau ikut pengalamanku, mencari perkataan tersembunyi memerlukan penumpuan, ketenangan, ketelitian dan daya kreativiti. Kalau secara tergesa-gesa, pasti akan ada perkataan yang tertinggal. Katakanlah kalau ada 20 perkataan tersembunyi, pasti akan ada 5 perkataan yang tertinggal. Sure punya…


12 MAC (RABU)

Pada hari ini setiap kumpulan telah diarahkan agar membawa “notebook”. Kumpulan kami telah bersedia dengan “notebook” sebagaimana yang dikehendaki. Apabila kami masuk ke dalam kelas, Dr. Normaliza telah memberikan satu tugasan. Kami semua dikehendaki membuat 3 buat artikel tentang multimedia. Artikel yang telah dibuat perlu ditaip dan seterusnya dihantarkan kepadanya melalui email yang diberi.

Kumpulanku telah berbincang di Latar Siswa kerana di situ mempunyai memudahan internet. Kami berbincang dan seperti biasa melakukan pengagihan tugasan. Aku ditugaskan untuk mengarang satu artikel yang bertajuk “Peranan Multimedia dalam Industri Pelancongan”. Aku telah mencari satu tempat yang begitu tenang dan sesuai untuk mengarang artikel tersebut. Idea datang mencurah-curah, dan aku berjaya menyiapkan satu artikel yang sepatutnya. Artikel tersebut aku serahkan kepada Wadi kerana dia berperanan sebagai tukang taip merangkap editor sekali. Tugasku selesai dan aku boleh menarik nafas lega dan menenang fikiran. Sebenarnya aku berasa kurang tenteram pada hari itu kerana ujian 2 untuk subjek Psikolinguistik akan berlangsung pada pukul 2.00 petang, iaitu selepas kelas Bahasa Dalam Multimedia ini.


Apabila jam menunjukkan pukul 1.45 petang, aku pun meminta izin daripada rakan-rakanku untuk mengundurkan diri, dan melakukan persiapan mental untuk menjalani peperiksaan. Aku berharap tidak akan berlaku sebarang masalah dalam menghantar email nanti…



07 MAC 2008 (JUMAAT)

Hari ini kumpulan kami telah pergi ke Rumah Anak Yatim, Puchong untuk melakukan tugasan Bahasa Dalam Multimedia. Di samping itu, kami juga akan melakukan kerja-kerja amal di situ nanti. Kami akan menghiburkan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu bapa agar mereka berasa gembira dan ceria. Mereka juga berhak untuk merasa kebahagiaan, keseronokan, keceriaan dan kegembiraan seperti kanak-kanak lain. Kami juga akan cuba menghayati dan merasai diri dan perasaan mereka.


Rancangan untuk pergi melawat rumah anak yatim ini telah disusun oleh ketua kumpulan kami iaitu En. Wadi. Dia telah mengadakan beberapa pertemuan dengan ketua-ketua kumpulan yang lain untuk membuat perancangan dan aktiviti sepanjang lawatan kami nanti. Sebanyak 6 kumpulan telah bergabung untuk melakukan lawatan itu.


Pada waktu malam sebelum rancangan itu berjalan, kami telah mengadakan pertemuan ahli kumpulan. Kiranya kami bermesyuarat la…walaupun tak berapa nak formal sangat, tapi meeting itu berjalan dengan lancar. Pembahagian tugas dilakukan. Di antara tugas-tugas aku nanti ialah menyediakan kenderaan untuk ahli, jurugambar, ketua untuk pembinaan slaid projek dan membantu fasilitator yang lain.

Pada pagi itu, selepas semua ahli kumpulan berkumpul, iaitu pada pukul 12.00 tengah hari, kami pun bertolak ke destinasi yang dirancang. Aku membawa kereta Kancil yang sendat terisi dengan Safuan, Sobri dan Mat Nor. Kami bertolak dahulu kerana rakan-rakan kami yang lain berhasrat untuk mengisi minyak. Lagipun aku tahu kedudukan rumah anak yatim itu. Pada pukul 12.30 tengah hari aku sampai ke rumah anak yatim yang dimaksudkan, tetapi aku lihat rakan-rakanku yang lain belum muncul-muncul. Hampir 20 minit kami menunggu…akhirnya aku menghubungi Wadi… Mereka kata mereka sudah lama sampai. Aku terkejut. Rupa-rupanya aku tersalah rumah anak yatim. Rumah anak yatim yang kami pergi itu terletak di Pulau Meranti, sedangkan rumah yang sebenar terletak di Puchong Perdana. Patutlah…tunggu punya tunggu tak tiba-tiba. Rupanya berlaku sedikit kekeliruan maklumat. Tak apa la….kekeliruan maklumat yang kecil saja…sekurang-kurangnya kami masih berada di kawasan Puchong…bukan sampai ke Sabak Bernam pun!


Ah..jam sudah menunjukkan pukul 1.15 petang, dan kami pun berhenti di masjid berhampiran untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Selepas selesai solat, kami pun terus menuju ke Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong. Aku lihat ahli-ahli kumpulan yang lain telah berada di sana. Aktiviti dimulakan dengan sesi salam perkenalan dari abang-abang dan kakak-kakak dari Universiti Putra Malaysia.

Pertama sekali aku lihat anak-anak yatim yang terdapat di rumah amal itu. Keadaan mereka sungguh sayu sekali…sedikit sebanyak aku dapat merasakan tentang perasaan mereka kerana aku sendiri dahulu pernah bergelar anak yatim. Aku pernah kehilangan ayah yang amat kurindui dalam usiaku yang amat mentah. Aku sendiri tidak pernah merasa bagaimana kasih sayang seorang bapa. Yang aku ada ialah seorang ibu yang bertindak juga sebagai ayah. Ayahku dahulu pergi meninggalkan aku kerana terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawanya. Dia adalah seorang pengait kelapa, dan kematiannya juga disebabkan oleh buah kelapa. Pada suatu hari, ayahku telah dihempap setandan buah kelapa yang dikaitnya.


Aku masih ingat pada suatu ketika dahulu….setiap kali dia balik dari kebun kelapa, dia pasti akan membawa satu jag air kelapa muda bersama-sama isi kelapa muda. Namun, pada suatu hari dia balik ke rumah tanpa air kelapa muda, tetapi dia balik bersama beberapa orang rakannya dalam keadaan yang amat lemah…dipapah…Aku lihat ibuku menangis…dan aku pun turut menangis tanpa aku tahu puncanya…setelah itu, ayahku tidak pernah lagi ke kebun. Hidupnya terlantar diperbaringan dan makannya perlu disuap. Aku melihat ibuku begitu gigih membantu ayahku yang tidak berdaya. Yang aku tahu, ayahku telah lumpuh separuh badannya akibat hentaman buah kelapa yang jatuh di kepalanya. Tidak lama kemudian, ayahku pergi meninggalkan kami yang masih mengharapkan kasih sayangnya buat selama-lamanya…………….


Berbalik kisah di rumah anak-anak yatim tadi…..rakan-rakan seperjuanganku begitu gigih menghiburkan anak-anak yatim. Aku lihat wajah-wajah keceriaan dan kegembiraan terpancar jelas. Syabas aku ucapkan kepada semua ahli kumpulan yang telah melaksanakan tanggungjawab sosial dengan begitu gigih sekali. Kumpulan kami juga turut menyumbangkan bakti dengan menghiburkan anak-anak yatim dengan hiburan ringan seperti tarian dan nyanyian kanak-kanak. Slot kami ini telah kami rancang dengan begitu teliti dan rapi sekali sebelum kami datang ke sini. Aktiviti sehari bersama anak-anak yatim berakhir pada pukul 7.00 malam, dan kami pun bertolak pulang ke Universiti Putra Malaysia dengan rasa puas dan gembira. Banyak kenangan indah selama kami di sini!


19 MAC 2008 (RABU)


Segala tugasan telah kami siapkan seperti yang dirancangkan, dan hari ini adalah hari pembentangan slaid kerja amal semasa melakukan tugasan di rumah anak yatim. Sebagaimana yang telah aku nyatakan tadi bahawa soal membina slaid adalah tugas aku. Aku telah pun mula menyiapkan amanah tersebut sejurus selepas aku pulang dari rumah anak-anak yatim dahulu. Jadi, untuk pembentangan aku rasa tidak ada sebarang masalah.


Kumpulan kami merupakan kumpulan kedua terakhir dalam membentangkan hasil tugasan kami…dan kami berasa amat puas hati…sekurang-kurangnya kami dapat mengajak audien turut sama merasai perasaan anak-anak yatim, dan menghayati perasaan kami.

***************************************************************************

B
egitulah sedikit sebanyak pengalaman suka duka yang dapat aku coretkan dalam jurnal ini, dan dapat dikongsi bersama sepanjang aku mengambil subjek BBM3410 BAHASA DALAM MULTIMEDIA ini.

Jutaan terima kasih kepada DR. NORMALIZA BINTI ABDUL RAHIM atas tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan.

Setiap pensyarah memang mempunyai karektor, pendekatan, metodologi yang berbeza-beza…Soal ini memang aku akui dan aku akur. Justeru, tidak perlulah kita membanding-bandingkan dengan pensyarah yang lain. Nak kutuk pun tak wajar…nanti ILMU tak berkat, sia-sia je belajar.

SEKIAN, TERIMA KASIH.